Friday 28 June 2013

Makanan segar menyihatkan

SELATAN

ARKIB : 27/06/2013

Zaidi Kassim (depan, enam dari kanan) bersama peserta Negeri Sembilan Food Trail 2013 dan pemilik Restoran Wadi Ar-Raudah di Rahang, Negeri Sembilan, baru-baru ini. - utusan/Noor hanis harun

Oleh NOOR HANIS HARUN 

utusanN9@utusan.com.my  

SEREMBAN 26 Jun - Negeri Sembilan bukan hanya terkenal dengan jolokan bumi adat perpatih malahan turut popular dengan pelbagai jenis makanan tradisionalnya sekali gus menjadi daya tarikan pelancong dari dalam dan luar negara. 

Secara amnya, sejarah dan keunikan kisah adat yang menjadi amalan turun temurun masyarakat di negeri ini menjadi signifikan serta identiti kepada negeri beradat ini.Lebih menarik warisan sejarah itu turut diinterpretasi melalui sosial kehidupan masyarakat malah ditonjolkan melalui seni pembinaan bangunan serta rumah berteraskan konsep Minangkabau sehingga ke hari ini.Bukan itu sahaja, apabila menyentuh aspek masakan, negeri ini sudah terkenal dengan hidangan pedas seperti masak lomak cili api dan rendang yang dipopularkan menerusi resipi tradisional sejak berabad lalu.

Pengarah Tourism Malaysia negeri, Zaidi Kassim berkata, adat perpatih sudah menjadi amalan masyarakat negeri ini kira-kira 600 tahun lalu, maka tidak hairanlah ia mempengaruhi sebahagian besar aspek kehidupan penduduk Negeri Sembilan.Menurutnya, selain keunikan adat perpatih, Negeri Sembilan juga terletak pada lokasinya yang amat strategik antara Singapura dan Lembah Klang sebagai destinasi kunjungan umum khususnya dalam kalangan pelancong dari dalam dan luar negara.

Pada tahun ini, kita mensasarkan seramai lima juta pelancong berkunjung ke negeri ini khususnya di tempat menarik seperti kawasan rekreasi, bersejarah selain merasai pengalaman suasana di kampung.

Selain berkunjung ke pantai peranginan Port Dickson, negeri ini juga mempunyai tempat penginapan inap desa, aktiviti ekopelancongan dan makanan tradisional peninggalan nenek moyang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika program Negeri Sembilan Food Trail 2013 di Homestay Kampung Lonek, di Batu Kikir, Kuala Pilah, baru-baru ini.

Mengulas lanjut berhubung program tiga hari itu, Zaidi berkata, Negeri Sembilan Food Trail itu merupakan salah satu platform untuk mempromosikan lokasi pelancongan, masakan tradisional serta tempat makanan menarik sekitar negeri ini.

 Program kembara ini meliputi jelajah tiga daerah iaitu Seremban, Kuala Pilah dan Rembau, di mana setiap daerah mempunyai identiti makanan yang berbeza, sebagai contoh apam johol, kuih sepang dan masak lomak cili api daging salai

Kita membawa 40 peserta yang terdiri daripada pengamal media dan agensi perlancongan untuk singgah ke 11 destinasi pelancongan di negeri ini.

Setiap premis makanan akan menghidangkan pelbagai hidangan terbaik mereka yang enak dan unik untuk dipromosikan kepada pelancong," ujarnya

Antara lokasi pelancong menarik yang dilawati peserta menerusi program tersebut termasuk Jelita Ostrich Farm, Starfresh Agropark, Muzium Diraja Istana Seri Menanti, Homestay Kampung Lonek, Teratak Za’aba dan Rembau Kristal.

Di samping itu, katanya, peserta turut berpeluang merasai pelbagai hidangan menarik seperti cendol madu, sate tulang Jelebu, dan kuih koci labu dan pucuk ubi goreng rendang Rembau yang popular di negeri ini.

Zaidi berharap program sedemikian memberi pelaung kepada umum untuk mengetahui tentang keunikan Negeri Sembilan ini melalui masakan tradisional ala nogori.

Tambahnya, sempena acara Tahun Melawat 2014 tidak lama lagi, pihak Tourism Malaysia akan menganjurkan lebih banyak lagi program yang berbentuk jelajah negeri.

“Kita merancang untuk menjadikan Port Dickson sebagai salah satu perhentian dalam program Negeri Sembilan Food Trail yang seterusnya selepas ini," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Selatan/20130627/ws_01/Adat-pepatih-masakan-nogori#ixzz2XZWJIH9j

© Utusan Melayu (M) Bhd

0 comments:

Post a Comment