ARKIB : 11/04/2013
Indra Balaratnam (kiri) ketika pelancaran kempen mendidik orang ramai tentang pengambilan makanan segar oleh MBG baru-baru ini.
Ramai daripada kita tahu apa yang patut dimakan, tetapi tidak ramai yang sedar bahawa cara menyediakan makanan penting untuk mengekalkan khasiatnya agar sentiasa sihat sejahtera.
Dalam filem dokumentari Food Matters terbitan tahun 2008, Dr. Paul Kouchakoff dari Switzerland dipetik sebagai berkata, jika seseorang mengambil diet yang mengandungi lebih daripada 51 peratus makanan dimasak, badan akan bertindak balas kepada makanan seolah-olah diserang oleh organisma asing.
Sebaliknya kata beliau, jika 51 peratus daripada sajian makanan tidak dimasak atau dimakan 'segar', seseorang itu kurang berkemungkinan untuk mengalami leukositosis (kenaikan jumlah bilangan sel darah putih).
Ini bermakna, tidak akan ada tindak balas sel darah putih untuk mencetuskan amaran bahaya palsu kepada sistem ketahanan badan.
Memandangkan terdapat begitu banyak makanan diproses, terlebih masak dan makanan tidak sihat yang kini menimbulkan masalah kardiovaskular dan pada sistem ketahanan badan, masyarakat sewajarnya perlu memikirkan dengan serius tentang langkah kembali kepada asas.
Ini dengan cara mengambil makanan dalam bentuk paling asal, asas dan asli (makanan segar yang kaya dengan khasiat pemakanan - tetapi khasiatnya akan berkurangan jika dimasak).
Pakar diet tempatan, Indra Balaratnam, berkata, konsep mengambil makanan dalam bentuk yang semula jadi atau 'makanan segar' bukan pekara baru.
Sebaliknya kata beliau, konsep itu telah sekian lama menjadi amalan di kalangan mereka yang mementingkan kesihatan.
"Di Malaysia, semakin ramai orang yang merangkumkan lebih banyak makanan segar dalam bentuk yang semula jadi ke dalam diet harian mereka.
"Sesetengah orang mengambil lebih banyak makanan yang boleh dimakan dalam bentuk yang semula jadi seperti buah-buahan, sayuran, jus, biji-bijian, kekacang dan bijirin.
"Makanan seperti ini kaya dengan serat, vitamin, anti oksida, protein dan lemak yang sihat. Makanan segar juga kaya dengan enzim dan nutrien semula jadi yang membantu fungsi badan dan kesihatan secara keseluruhan," katanya.
Indra berkata, sesetengah orang mengambil makanan seperti daging dan ikan segar atau dimasak pada tahap kepanasan tidak lebih daripada 40 hingga 46 darjah.
Langkah ini dapat mengelakkan kerosakan kebanyakan enzim semula jadi ini yang diperlukan oleh tubuh badan.
"Itulah sebabnya makanan segar juga dikenali sebagai 'makanan hidup'.
" Untuk kesihatan optimum, kita patut mengambil pelbagai makanan yang dimasak dan juga makanan segar untuk menjamin diet yang sihat dan seimbang," kata Indra.
Satu lagi kelebihan kata beliau, ialah makanan segar tidak mengandungi pengawet, pewarna dan perasa tiruan mahupun bahan tambahan yang tidak perlu.
Selain itu, kaedah memasak tanpa penggunaan terlalu banyak minyak dapat mengurangkan kandungan lemak berbanding sajian goreng biasa yang berminyak.
"Terdapat juga orang yang makan hasil ternakan dalam bentuk segar seperti susu pasteur, telur dan daging segar yang sememangnya baik untuk kesihatan," katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20130411/ke_04/#ixzz2XZYLrWLn
© Utusan Melayu (M) Bhd
0 comments:
Post a Comment